
Sabtu, 19 April 2025 – Majlis Pelancaran Buku-Buku Sejarah anjuran Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei (PSB) disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah diadakan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei.

Hadir selaku Tetamu Khas bagi menyempurnakan pelancaran buku ialah Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei. Sebanyak enam (6) buah buku dilancarkan pada majlis berkenaan. Tiga (3) buah adalah tulisan Dr. Rozan Yunos, Yang Di-Pertua Persatuan Sejarah Brunei (penerbit: Persatuan Sejarah Brunei & Qasrun Nafis Publishing House) iaitu The Golden Warisan Brunei Darussalam; The Golden Heritage Brunei Darussalam; dan Kingship & Monarchy in The Brunei Sultanate. Manakala dua (2) buah buku adalah tulisan Dr. Bakar Berudin, Setiausaha Agung Persatuan Filatelik Brunei (Penerbit: Persatuan Filatelik Brunei) iaitu Brunei The History of Postal Services and Stamp Issues 1895–1906 dan Brunei Postal History of Definitive Issues of Brunei Stamps 1907–1974; dan sebuah lagi The Voices of Bruneian Women hasil tulisan Zaviera Jayn Julahi, Pemangku Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR (Penerbit: Qasrun Nafis Publishing House).

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Majlis iaitu Yang Mulia Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos dan bacaan resensi buku oleh Yang Mulia Profesor Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata berupa buku yang baru dilancarkan kepada Tetamu Khas dan wakil daripada Pusat Sejarah Brunei.
Turut menyerikan majlis pelancaran ialah Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1446/2025 yang diraikan bersama PESEBAR dan pegawai-pegawai serta kakitangan PSB.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan buku-buku berkenaan bolehlah menghubungi Qasrun Nafis Publishing House melalui talian +673 7235010 atau instagram rasmi @qnph.bn