Rabu, 5 Mac 2025 - Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku dan Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Esei dan Peraduan Ilustrasi Sejarah Brunei Tahun 2024-2025. Majlis berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, PSB.
Hadir selaku Tetamu Khas Yang Mulia Haji Awang Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan pelancaran enam (6) buah terbitan Pusat Sejarah Brunei iaitu Aspirasi Negara: Mahkota Bangsa (Jilid I); Kampung Ayer: Warisan Bangsa Brunei; Sultan-Sultan Brunei: Sebuah Biografi Ringkas; Castillian War; Sultan Bolkiah (versi bahasa Inggeris); dan majalah Wahana Sejarah Bilangan 2.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi Peraduan Menulis Esei Sejarah Brunei Tahun 2024-2025. Peraduan ini mengangkat lapan (8) buah esei hasil daripada lapan (8) penyertaan sebagai tiga (3) penerima hadiah penghormatan dan lima (5) penerima hadiah penghargaan. Penerima bagi hadiah penghormatan pertama ialah Dayang Arabiatul Aqilah binti Awang Ahmad dengan tajuk esei “The Impact of the Losses of Baram & Limbang on the Economy of Brunei, 1882-1904”.
Manakala Peraduan Ilustrasi Sejarah Brunei dengan tema “Sejarah Pembentukan Negara Brunei Darussalam sebagai Sebuah Negara Merdeka” mengangkat ilustrasi-ilustrasi hasil daripada lima (5) peserta iaitu tiga (3) penerima hadiah penghormatan dan dua (2) penerima hadiah penghargaan. Menerima hadiah penghormatan pertama ialah Dayang Nuraiman Nabilah binti Mohammad Yaakub.
Majlis seterusnya ialah penyampaian buku oleh tetamu khas kepada penulis buku Aspirasi Negara: Mahkota Bangsa (Jilid I) iaitu Yang Mulia Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei; dan penyampaian cenderamata kepada tetamu khas oleh Yang Mulia Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh selaku pengerusi majlis berkenaan.