Sabtu, 7 September 2024 - Majlis Perasmian Pameran Uciran Calak Brunei: Pameran Seni Lukis Abstrak 8 Seniman Tempatan anjuran bersama Pusat Sejarah Brunei dan Creative Space berlangsung pagi tadi di Pusat Sejarah Brunei.
Perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Tetamu Kehormat Majlis. Turut hadir Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei dan Yang Mulia Dato Paduka Haji Haini bin Haji Hashim, selaku penyampai ucapan alu-aluan wakil para pelukis.
Pameran mempamerkan hasil lukisan abstrak lapan (8) orang pelukis tempatan iaitu Dato Haini Hashim, Dr. Zakaria Hamid, Pengiran Abdul Wahab, Osman Mohammad, Pengiran Timbang, Malek Matarsad, Awang Sitai dan Adi Zain. Penggunaan gaya dan teknik tersendiri pelukis memberi keistimewaan dan keunikan unsur seni dan nilai keBruneian yang pelbagai mencakupi nilai sejarah, sosiobudaya dan sosioekonomi.
Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak dan demonstrasi melukis. Penyampaian cenderamata kepada Tetamu Kehormat dan Pengetua Pusat Sejarah Brunei disampaikan oleh wakil para pelukis.