Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Mempromosikan PenBorneo sebagai sumber rujukan sejarah


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 November. - Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Pusat Pengkajian Borneo (PenBorneo) menganjurkan Program Ceramah Sejarah Borneo Siri Ke-10, yang diadakan selama dua hari, bermula hari ini dan Isnin, 28 November, di Pusat Pengkajian Borneo, Kampung Anggerek Desa, Berakas.
 
Program Ceramah Sejarah Borneo, bertemakan 'Sejarah Masa Silam Pemangkin Belia Masa Depan' diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal (atas jemputan) dan dalam talian dengan menggunakan aplikasi Zoom.
 
Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.


Terdahulu acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, dibacakan oleh Awang Alomsa Noradzmin bin Haji Alli Omar.
 
Sejurus selepas itu, ucapan alu-aluan daripada Pemangku Timbalan Pengetua II, Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh.
 
Menerusi siri Program Ceramah Sejarah Borneo kali ini, PSB bukan sahaja telah menjemput penceramah dari dalam negara, tetapi juga dari luar negara, seperti Sarawak, Sabah dan Kalimantan.
 
Kali ini seramai tujuh penceramah, iaitu tiga dari NBD dan dua dari Sarawak, seorang masing-masing dari Sabah dan Kalimantan dijemput untuk membentangkan ceramah masing-masing di sepanjang dua hari program ini berlangsung.
 
Program Ceramah Sejarah Borneo membuka tirainya dengan pembentangan Kertas Perdana, disampaikan oleh Pengetua PSB, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, bertajuk 'Sejarah Silam Pemangkin Belia Masa Depan', diikuti dengan pembentang pertama oleh Pengurus Besar, Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, dengan tajuk pembentangannya 'Dari Perjuangan Datu Patinggi Abdul Gapor Hingga Rosli Dhoby, 1860-1951 : Mencari Tonggak Nasionalisme Melayu Sarawak'.
 
Setelah itu, diteruskan dengan ceramah daripada pembentang kedua, disampaikan oleh Profesor Dr. Ismail Ali dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), bertajuk 'Memandang Semula Maritim sebagai Satu Disiplin Ilmu dalam Mendepani Agenda Kelautan Negara-negara Kepulauan Asia Tenggara', dan setelah itu diakhiri oleh pembentang ketiga, H. M. Natsie, M.Si dari Kalimantan, yang membawakan tajuknya 'Awal Kalimantan Dalam Kontek Kekinian'.
 
Program Ceramah Sejarah Borneo ini dilaksanakan sejak tahun 2015 secara fizikal mahupun secara maya.
 
Walau bagaimanapun, pada tahun ini, dalam membarigakan Program Sesi Ceramah@PenBorneo, PenBorneo membuat penjenamaan baharunya dengan nama program Ceramah Sejarah Borneo sesuai dengan usia program berkenaan yang sudah mencecah satu dekad.
 
Keistimewaan yang terkandung dalam program ceramah ini ialah perkongsian pengalaman dan pengetahuan penceramah, bersifat informasi serta mudah difahami serta boleh memberikan wawasan yang luas daripada sumber rekod yang terdapat di PenBorneo melalui kaedah pembentangan.
 
Antara objektif program pula adalah untuk penambahbaikan pembangunan koleksi bahan rujukan sejarah yang terdapat di PenBorneo, di samping mempromosikan PenBorneo sebagai sumber rujukan sejarah.
 
Selain itu, memberi kesempatan kepada para penceramah berkongsi dalam menyampaikan maklumat yang bersifat informasi serta dapat menjelaskan perkara yang penting dan mudah difahami.
 
Ini juga termasuk dapat memberikan wawasan yang luas daripada sumber lain kerana penceramah dapat menjelaskan tajuk dengan mengaitkannya dengan kehidupan sehari-hari; memberikan kefahaman yang jelas kepada para pegawai kerajaan dan mahasiswa tentang kepentingan ilmu sejarah untuk dipelajari serta dibuat kajian mengenainya untuk rujukan orang ramai.
 
Dan untuk memberikan pendedahan dan menarik minat, khususnya generasi belia untuk membuat kajian serta penyelidikan di PenBorneo.
 
PSB mengharapkan agar program berkenaan dapat mencapai objektifnya seperti yang dihasratkan serta dapat memberikan manfaat ilmu kepada semua, dalam menimba dan menambah ilmu pengetahuan, di samping dapat memartabatkan sejarah serta mendukung dasar, matlamat, visi dan misi PSB.

Attachments
Created at 12/7/2022 10:40 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 12/7/2022 10:43 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali