Khamis, 6 Februari 2025 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Unit Perkembangan Sumber Tenaga Manusia menganjurkan Program Siri Bicara Inspirasi (BiSAI) Edisi Khas Tahun 2025. Forum yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dihadiri oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, warga Kementerian dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Forum bertajuk “Semangat Patriotisme: Pengorbanan Dulu, Tanggungjawab Kini” telah disampaikan oleh dua (2) orang ahli panel iaitu Yang Mulia Cikgu Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, Pegawai Kaunselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Yang Mulia Awang Iswandy bin Ahmad, Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Manakala moderator ialah Yang Mulia Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei.
Forum menyentuh tentang kepentingan semangat patriotisme sebagai nilai murni yang perlu dihayati dan disemai dalam jiwa setiap lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.